Friday 29 April 2011

Pemain import kembali, seorang mesti dari rantau ASEAN

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

PETALING JAYA - Kembalinya aksi pemain import, Liga Super tidak lebih daripada 12 pasukan dan geran penajaan yang berdasarkan prestasi liga, mampu lebih mewarnai dan menyuntik kehebatan Liga Malaysia musim depan, menurut kaca mata Jawatankuasa Malaysia Super League (MSL), semalam.
Malah tanggungjawab menguruskan Liga M mahupun pasukan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, bakal diserahkan kepada sebuah entiti profesional dan komersial yang berasingan sekali gus melepaskannya daripada bahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan persatuan bola sepak negeri (FA).
Kerinduan kepada aksi pemain import sejak 2009 pula turut akan terubat sekiranya saranan jawatankuasa ini direstui Majlis FAM, tidak lama lagi dengan setiap pasukan cuma dibenarkan memiliki sehingga tiga orang namun salah satu daripadanya mestilah yang berasal dari Asia Tenggara.
Pengerusi MSL, Tan Sri Annuar Musa berkata di Wisma FAM, Kelana Jaya: "Kami melihat kemasukan semula pemain import mampu menyumbangkan salah satu nilai tambah kepada mutu liga bola sepak kita selagi tahap permainan mereka didapati lebih baik daripada pemain tempatan.
"Ia juga membuka peluang pemain tempatan bersaing semula mahupun berganding bahu lantas menimba pengalaman dengan pemain import yang lebih baik daripada mereka," katanya yang juga Timbalan Presiden FAM selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu.
Mengenai saranan pengurangan pasukan Liga Super daripada 14 seperti sekarang, katanya: "Kita perlukan kualiti liga kerana tiada maknanya jika ia ditandingi lebih 12 pasukan tetapi sering berlakunya jurang perbezaan gol yang besar dan keputusan perlawanan yang tidak seimbang.
"Geran penajaan tahunan kepada setiap pasukan atau persatuan negeri pula dicadangkan berdasarkan prestasi mereka dalam liga kerana kita tidak mahu lagi pihak ini menganggap mereka sudah dijamin wang yang mudah atau seperti mendapat 'derma' hasil tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Skalanya kepada setiap penerima mesti berbeza atau dengan kriteria dan tanda aras tertentu namun mulai musim depan, pasukan tuan rumah yang perlawanannya disiarkan secara langsung menerusi TV juga bakal menikmati yuran kemunculan sebanyak RM30,000 sebagai geran bantuan tambahan daripada MSL," jelasnya.
Berhubung peralihan tugas menguruskan liga dan pasukan daripada FAM dan FA negeri termasuk tanpa melibatkan jawatankuasa pertandingan tempatan lagi, katanya: "Ia adalah untuk mendapat pengiktirafan liga profesional sepenuhnya daripada Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) sekali gus melayakkan kita bermain dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL)."

No comments:

Post a Comment

Klik..